Thursday, August 20, 2009

Vaksin H1N1 mungkin berkurangan

PARIS 19 Ogos - Negara-negara di hemisfera utara setakat ini telah memesan lebih satu bilion dos vaksin selesema babi, sekali gus mencetuskan amaran mengenai kekurangan bekalan vaksin tersebut.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam, sesetengah negara, terutamanya Greece, Belanda, Kanada dan Israel, sudah memesan dos berganda yang cukup banyak untuk menginokulasi seluruh penduduk negara mereka.
Negara lain seperti Jerman, Amerika Syarikat (AS), Britain dan Perancis membuat pesanan bagi melindungi antara 30 hingga 78 peratus penduduk mereka.
"Pesanan vaksin pandemik yang dibuat oleh negara-negara hemisfera utara kini melebihi satu bilion," kata jurucakap WHO, Melinda Henry.
Beliau mengingatkan bahawa pada peringkat awal, bekalan vaksin adalah sangat terhad dan tidak akan mencukupi untuk menginokulasi seluruh penduduk atau sebahagian besar daripada penduduk.
Pakar memberi amaran, permintaan tinggi bergabung dengan kelewatan pengeluaran boleh menyebabkan kekurangan bekalan, lalu memaksa kerajaan yang bakal menghadapi gelombang kedua selesema itu, yang mungkin lebih dahsyat, membuat pilihan sukar dalam menentukan siapa yang patut diberi vaksin terlebih dahulu.
Pada Julai lalu, WHO melaporkan, 25 syarikat pengeluar ubat yang telah mengumumkan hasrat untuk mengeluarkan vaksin itu boleh menghasilkan 94 juta dos seminggu mulai pertengahan Oktober ini.
WHO, bagaimanapun meminda jumlah tersebut kepada angka yang jauh lebih rendah apabila enam pengeluar terbesar vaksin yang bertanggungjawab bagi 85 peratus pengeluaran global, melaporkan virus selesema babi yang mereka gunakan tidak membiak secepat yang dijangka.
"Jenis virus vaksin yang digunakan sekarang hanya menghasilkan 25 hingga 50 peratus daripada anggaran asal atau serendah 23 juta dos seminggu," kata Henry.
Beliau berkata, masih ada tanda tanya sama ada satu atau dua dos akan diperlukan bagi memastikan perlindungan vaksin yang berkesan.
Sebuah syarikat pengeluar ubat China, Sinovac Biotech semalam mengumumkan bahawa pihaknya sudah selesai menjalankan ujian klinikal yang menunjukkan vaksin barunya 'menghasilkan imuniti yang baik selepas satu dos'.
Namun, ramai pakar berkata, dos berganda akan diperlukan kerana kebanyakan orang tidak mempunyai imuniti terhadap virus baru influenza A (H1N1) itu. - AFP

No comments: