Pada suatu ketika, tahap wabak selesema babi atau influenza A (H1N1) di negara ini tidaklah nampak membimbangkan kalau dibandingkan dengan negara serantau termasuk Singapura.
Namun, keadaan menjadi sebaliknya dengan peningkatan kes begitu mendadak.
Singapura lebih terkawal dengan lima kes kematian sementara Malaysia mencatatkan 59 maut - berada pada tahap mencemaskan. Kadar kematian per jangkitan akibat H1N1 Malaysia dikatakan antara tertinggi di dunia dan kedua di Asia Tenggara iaitu 1 dalam 40 kes, Thailand 1 - 119 dan Indonesia 1 - 168.
Sebanyak 59 terkorban angkara wabak itu di negara ini sehingga petang semalam. Tidakkah jumlah korban itu cukup besar? Kenapa ia boleh ke tahap itu sedangkan Malaysia bukanlah negara yang mundur.
Pada ketika Awang menghargai komitmen Kementerian Kesihatan dan pihak-pihak berkenaan menangani kes tersebut, ia sesungguhnya membuka ruang untuk kita menilai apa yang tidak kena. Dalam konsep keselamatan moden, wabak dan memerangi jangkitan sudah diletakkan sebagai ancaman utama kepada keselamatan. Tetapi pendekatan kita masih di takuk lama.
Antara cara termudah ialah media diminta jangan membesar-besar penularan wabak H1N1 di peringkat awal awal kononnya bimbang akan menimbulkan kegemparan dan menjejaskan sektor pelancongan. Media juga diminta elak guna istilah selesema babi sedangkan istilah itu lebih menggerunkan orang ramai. Stesen penyiaran utama dunia seperti CNN dan BBC turut menggunakan istilah dengan maksud sama (swine flu).
Lihatlah apa jadi sekarang? Bukanlah Awang mahu mencari salah sesiapa. Yang penting ambillah pengajaran daripada isu H1N1 ini. Banyak persoalan yang melingkari kita misalnya diketahui H1N1 sudah di tahap bahaya tetapi apa tindakan kita? Untuk menentukan sama ada sekolah tutup atau buka dan larangan perhimpunan ramai, juga masih tidak jelas.
Apakah kita mahu menunggu lebih ramai mati baru mengisytiharkan darurat wabak dan langkah yang lebih konkrit? Apabila kematian sudah tidak terkawal, adalah terlambat untuk bertindak dan apakah rakyat akan dipersalahkan nanti? Lakukanlah post mortem yang berani untuk mengenal pasti kelemahan kita. Jika perlu belajar daripada Singapura, belajarlah.
petikan dari akhbar utusan malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment