SANTIAGO 22 Ogos - Chile semalam menyatakan ujian menunjukkan selesema babi (H1N1) kini menjangkiti burung sekali gus membuka bab baru dalam epidemik global.
Pakar mengenai wabak selesema dan kesihatan haiwan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Rom dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (AS) di Atlanta sedang memantau situasi tersebut.
Bagaimanapun, mereka menjelaskan bahawa ayam belanda yang dijangkiti hanya mengalami selesema ringan, seterusnya mengurangkan kebimbangan mengenai perkembangan buruk mengenainya.
Pemilik ladang ternakan ayam belanda Chile Sopraval SA berkata, daging ayam belanda negara ini masih selamat dimakan dan setakat ini belum ada tanda-tanda mutasi berbahaya kerana tidak ada seekor pun ternakannya mati akibat selesema babi.
Kementerian Kesihatan Chile semalam telah mengarahkan dua ladang ayam belanda di luar bandar pelabuhan Valparasiso dikuarantin selepas ujian genetik mengesahkan ternakan yang sakit dijangkiti virus sama yang telah mencetuskan pandemik kepada manusia.
Pemilik ladang ternakan berkata, ayam belanda yang dijangkiti telah dipindahkan ke bangunan kosong untuk mengelakkan penyebaran kepada unggas liar.
Setakat ini, virus yang merupakan campuran genetik manusia, babi dan unggas itu terbukti sangat mudah berjangkit namun tidak meragut banyak nyawa seperti selesema bermusim.
Bagaimanapun pakar virus bimbang jenis selesema baru mungkin muncul sekiranya ia bergabung dengan selesema burung (H5N1) yang lebih berbahaya namun sukar berjangkit.
Sopraval melaporkan keadaan yang berlaku kepada Kementerian Pertanian selepas penghasilan telur berkurangan bulan ini dan selepas ujian awal ke atas empat sampel mengesahkan jenis kecil A/H1N1 2009.
"Apa yang menjangkiti ayam belanda itu adalah virus selesema manusia, tiada mutasi berlaku," kata Timbalan Menteri Kesihatan, Jeannette Vega kepada Radio Cooperativa semalam.
Hal tersebut juga telah dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Sementara itu, Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) pula sedang bekerjasama dengan saintis Chile. - AP
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment