Sunday, August 16, 2009

Lokasi panas tidak praktikal

KUANTAN 15 Ogos - Langkah mengklasifikasikan sesuatu kawasan sebagai lokasi panas kes selesema babi atau influenza A (H1N1) dianggap tidak praktikal kerana ia banyak memberi kesan negatif.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tahap pengabaian terhadap penjagaan diri di kalangan rakyat akan lebih tinggi jika hanya beberapa kawasan diklasifikasikan sebagai lokasi panas H1N1.
Katanya, langkah itu juga memberi kesan negatif kepada sesuatu kawasan jika ia dikategorikan sebagai lokasi panas.
''Misalnya, jika ada kes H1N1 di Kuantan, kita tidak boleh kata jangan pergi ke Kuantan.
''Orang ramai yang tidak terlibat dalam lokasi panas pula, mereka akan ambil sikap mudah. Itu pun bahaya juga. Jika kita kata tidak ada apa-apa (di sesuatu kawasan), sebenarnya kita tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan secara serentak bagi UMNO Bahagian Kuantan, Paya Besar dan Indera Mahkota di Stadium Sukpa di Bandar Indera Mahkota di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.
Beliau mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia semalam berhubung gesaan empat persatuan pengguna yang meminta kerajaan mendedahkan lokasi-lokasi panas kes H1N1 terutama kawasan yang membabitkan kematian atau mempunyai kadar jangkitan tinggi supaya orang ramai lebih berwaspada.
Melalui pendedahan itu, orang ramai boleh mengelak kawasan tersebut sama seperti larangan yang dikenakan kerajaan terhadap lawatan ke negara-negara yang dilanda wabak itu sebelum ini.
Muhyiddin memberitahu, beliau telah berbincang dengan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berhubung lokasi panas itu semalam dan memutuskan sukar mengklasifikasikan mana-mana kawasan di negara ini sebagai lokasi panas H1N1 memandangkan wabak itu telah merebak merentasi sempadan.
Jelas beliau, penularan H1N1 tidak boleh disamakan dengan jerebu yang boleh dilihat menerusi tompok-tompok merah berlaku kebakaran di atas peta.
''Saya telah bincang dengan Menteri Kesihatan, ada pelbagai pandangan dalam soal ini tetapi tiada dalam negara ini yang kita buat umumkan sebagai lokasi panas.
''Dalam soal penyakit dan virus, sukar bagi kita beritahu lokasi-lokasi panas yang ada berlaku kematian yang tinggi.
''Ia bukan macam jerebu yang mana kita akan lihat tompok-tompok merah berlaku kebakaran dalam peta. Ini soal virus yang berlaku di banyak negara lain juga. Ia telah merentasi sempadan dan bukan duduk berlegar di satu kawasan sahaja," jelasnya.
Apa yang penting, tegasnya, semua pihak perlu mengambil langkah berjaga-jaga terutama meningkatkan kebersihan diri dan mengelakkan perkara yang boleh mendedahkan diri kepada H1N1.
''Kita sentiasa memberitahu kes-kes yang berlaku menerusi media, jadi kita perlu jadikan panduan daripada maklumat yang disalurkan kerajaan itu," katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin memberitahu, kerajaan membelanjakan RM40 juta lagi untuk menambah bekalan ubat antivirus Tamiflu untuk dibekalkan kepada semua hospital kerajaan, swasta dan klinik.
''Kita minta bekalan antivirus Tamiflu ditambah lagi daripada 10 peratus kepada 20 peratus di semua hospital dan klinik.
''Kita juga telah membelanjakan sebanyak RM3 juta untuk mengedar penutup mulut dan hidung kepada pelajar sekolah di seluruh negara," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengarahkan Kementerian Kesihatan menyusunkan semula waktu menunggu bagi mengatasi masalah kesesakan pesakit di semua hospital kerajaan sejak kes H1N1 semakin serius akhir-akhir ini.
''Jika yang datang ke hospital 100 orang, 20 orang tenat, jururawat boleh buat ujian awal-awal dan asingkan. Mereka ini mesti diberi layanan utama bagi mengelakkan keadaan pesakit bertambah buruk," katanya.

No comments: