Monday, September 21, 2009

SALAM LEBARAN

selamat hari raya aidilftri 2009..maaf zahir dan batin..semoga syawal tahun ini membawa keberktan pada kita semua..amin

Sunday, August 23, 2009

H1N1 merebak ke burung pula

SANTIAGO 22 Ogos - Chile semalam menyatakan ujian menunjukkan selesema babi (H1N1) kini menjangkiti burung sekali gus membuka bab baru dalam epidemik global.
Pakar mengenai wabak selesema dan kesihatan haiwan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Rom dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (AS) di Atlanta sedang memantau situasi tersebut.
Bagaimanapun, mereka menjelaskan bahawa ayam belanda yang dijangkiti hanya mengalami selesema ringan, seterusnya mengurangkan kebimbangan mengenai perkembangan buruk mengenainya.
Pemilik ladang ternakan ayam belanda Chile Sopraval SA berkata, daging ayam belanda negara ini masih selamat dimakan dan setakat ini belum ada tanda-tanda mutasi berbahaya kerana tidak ada seekor pun ternakannya mati akibat selesema babi.
Kementerian Kesihatan Chile semalam telah mengarahkan dua ladang ayam belanda di luar bandar pelabuhan Valparasiso dikuarantin selepas ujian genetik mengesahkan ternakan yang sakit dijangkiti virus sama yang telah mencetuskan pandemik kepada manusia.
Pemilik ladang ternakan berkata, ayam belanda yang dijangkiti telah dipindahkan ke bangunan kosong untuk mengelakkan penyebaran kepada unggas liar.
Setakat ini, virus yang merupakan campuran genetik manusia, babi dan unggas itu terbukti sangat mudah berjangkit namun tidak meragut banyak nyawa seperti selesema bermusim.
Bagaimanapun pakar virus bimbang jenis selesema baru mungkin muncul sekiranya ia bergabung dengan selesema burung (H5N1) yang lebih berbahaya namun sukar berjangkit.
Sopraval melaporkan keadaan yang berlaku kepada Kementerian Pertanian selepas penghasilan telur berkurangan bulan ini dan selepas ujian awal ke atas empat sampel mengesahkan jenis kecil A/H1N1 2009.
"Apa yang menjangkiti ayam belanda itu adalah virus selesema manusia, tiada mutasi berlaku," kata Timbalan Menteri Kesihatan, Jeannette Vega kepada Radio Cooperativa semalam.
Hal tersebut juga telah dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Sementara itu, Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) pula sedang bekerjasama dengan saintis Chile. - AP

Thursday, August 20, 2009

Vaksin H1N1 mungkin berkurangan

PARIS 19 Ogos - Negara-negara di hemisfera utara setakat ini telah memesan lebih satu bilion dos vaksin selesema babi, sekali gus mencetuskan amaran mengenai kekurangan bekalan vaksin tersebut.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam, sesetengah negara, terutamanya Greece, Belanda, Kanada dan Israel, sudah memesan dos berganda yang cukup banyak untuk menginokulasi seluruh penduduk negara mereka.
Negara lain seperti Jerman, Amerika Syarikat (AS), Britain dan Perancis membuat pesanan bagi melindungi antara 30 hingga 78 peratus penduduk mereka.
"Pesanan vaksin pandemik yang dibuat oleh negara-negara hemisfera utara kini melebihi satu bilion," kata jurucakap WHO, Melinda Henry.
Beliau mengingatkan bahawa pada peringkat awal, bekalan vaksin adalah sangat terhad dan tidak akan mencukupi untuk menginokulasi seluruh penduduk atau sebahagian besar daripada penduduk.
Pakar memberi amaran, permintaan tinggi bergabung dengan kelewatan pengeluaran boleh menyebabkan kekurangan bekalan, lalu memaksa kerajaan yang bakal menghadapi gelombang kedua selesema itu, yang mungkin lebih dahsyat, membuat pilihan sukar dalam menentukan siapa yang patut diberi vaksin terlebih dahulu.
Pada Julai lalu, WHO melaporkan, 25 syarikat pengeluar ubat yang telah mengumumkan hasrat untuk mengeluarkan vaksin itu boleh menghasilkan 94 juta dos seminggu mulai pertengahan Oktober ini.
WHO, bagaimanapun meminda jumlah tersebut kepada angka yang jauh lebih rendah apabila enam pengeluar terbesar vaksin yang bertanggungjawab bagi 85 peratus pengeluaran global, melaporkan virus selesema babi yang mereka gunakan tidak membiak secepat yang dijangka.
"Jenis virus vaksin yang digunakan sekarang hanya menghasilkan 25 hingga 50 peratus daripada anggaran asal atau serendah 23 juta dos seminggu," kata Henry.
Beliau berkata, masih ada tanda tanya sama ada satu atau dua dos akan diperlukan bagi memastikan perlindungan vaksin yang berkesan.
Sebuah syarikat pengeluar ubat China, Sinovac Biotech semalam mengumumkan bahawa pihaknya sudah selesai menjalankan ujian klinikal yang menunjukkan vaksin barunya 'menghasilkan imuniti yang baik selepas satu dos'.
Namun, ramai pakar berkata, dos berganda akan diperlukan kerana kebanyakan orang tidak mempunyai imuniti terhadap virus baru influenza A (H1N1) itu. - AFP

Wednesday, August 19, 2009

257 kes baru H1N1

KUALA LUMPUR 19 Ogos — Seramai 257 pesakit disahkan positif Influenza A (H1N1) dan tiada kematian akibat jangktan wabak itu dilapor hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.
Beliau berkata daripada 257 kes baru itu, 36 kes di rawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 21 kes mempunyai faktor risiko seperti diabetes, penyakit kronik, asma, hamil dan bersalin, obesiti, kanak-kanak istimewa dan bayi.
“Kementerian Kesihatan mendapati masih ramai pesakit yang mengalami jangkitan Influenza A (H1N1) yang tidak memberi kerjasama yang baik dalam mengawal penularan wabak ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dr Mohd Ismail turut meminta mereka yang mempunyai simptom penyakit itu supaya lebih bertanggungjawab dengan tidak mengunjungi tempat awam seperti pusat membeli belah dan mengelak daripada menaiki kenderaan awam.
“Mereka yang mempunyai simptom influenza walaupun ringan, masih boleh disebar kepada orang lain apabila mereka ini batuk atau bersin. Oleh itu, sesiapa yang ada simptom ini mesti berada di rumah, jangan mengunjungi tempat awam, tempat kerja atau sekolah sehingga tidak bersimptom lagi,” katanya.
Orang ramai juga dinasihat sentiasa mengikuti perkembangan semasa dan langkah-langkah pencegahan dengan melayari laman web khas H1N1 di http://h1n1.moh.gov.my atau menghubungi talian hotline 03-88810200 atau 03-88810300.
- BERNAMA

Monday, August 17, 2009

Dua lagi kematian kerana H1N1

KUALA LUMPUR 17 Ogos — Seorang bayi lelaki berumur tujuh bulan dan seorang wanita warga emas berumur 74 tahun adalah dua korban terbaru influenza A (H1N1) menjadikan jumlah kes kematian di negara ini seramai 64 orang.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, sehingga 9 pagi ini sejumlah 284 pesakit H1N1 sedang dirawat di wad manakala 33 pesakit yang disahkan menghidap H1N1 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di seluruh negara.
Daripada 33 kes ini, 17 kes didapati mempunyai faktor risiko.
Dr. Mohd. Ismail berkata, bayi tersebut yang menghidap asma dimasukkan ke ICU pada 7 Ogos lepas kerana demam, batuk dan sesak nafas selama dua hari.
“Bagaimanapun bayi tersebut meninggal dunia pada 15 Ogos lepas disebabkan ’severe pneumonia with acute respiratory failure’,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, wanita warga emas itu pula yang menghidap diabetes dan kegagalan jantung dimasukkan ke hospital pada 10 Ogos setelah pengsan di rumahnya dan meninggal dunia pada 12 Ogos disebabkan ’severe pneumonia’.
- BERNAMA

H1N1 kini tahap tenat

KUALA LUMPUR 16 Ogos – Darurat kesihatan tidak boleh diisytihar sewenang-wenangnya walaupun Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menganggarkan lima juta atau 20 peratus rakyat negara ini dijangkiti virus selesema babi atau Influenza A (H1N1).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pihaknya mengakui situasi wabak itu di negara ini adalah tenat, tetapi untuk mengisytihar negara sebagai darurat ia perlu mengambil kira banyak faktor dan kriteria lain.

Katanya, ia termasuk melibatkan pelbagai pihak lain seperti orang awam, kementerian dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Ini tidak bermakna kerajaan tidak serius dalam menangani penularan H1N1, malah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ialah Pengerusi kepada Jawatankuasa Kebangsaan Antara Kementerian Untuk Menangani Wabak H1N1,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Malaysia hari ini mencatatkan tiga lagi kematian akibat virus H1N1 menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 62 orang manakala sebanyak 283 kes baru dilaporkan di seluruh negara dengan jumlah kes terkumpul H1N1 meningkat kepada 3,857 kes.

Semalam Tiong Lai berkata, WHO menganggarkan lima juta atau 20 peratus rakyat negara ini berisiko dijangkiti virus influenza A (H1N1) jika orang ramai tidak mengambil serius langkah pencegahan bagi menghalang penularan virus itu.

Statistik itu berdasarkan kajian terperinci WHO mengenai kesan penularan luar biasa H1N1 terhadap sesebuah negara jika ancaman virus tersebut tidak ditangani secara berkesan dan menyeluruh.
Tiong Lai berkata, buat masa sekarang, Kementerian Kesihatan akan memfokuskan kepada aspek pencegahan dan rawatan khususnya terhadap pesakit-pesakit H1N1 yang terdiri daripada golongan berisiko tinggi.

“Kita akan terus mempergiatkan usaha menghebahkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan H1N1 di media massa seperti mengadakan sesi forum dengan orang ramai bagi meningkatkan tahap pengetahuan serta kesedaran mereka,” ujar beliau.
Menurutnya, Kementerian Kesihatan mahu mengambil langkah yang praktikal dalam mencegah penularan wabak H1N1 di negara ini termasuk meminta orang ramai memberi kerjasama bersepadu kepada kerajaan dalam perkara tersebut.

“Saya yakin keadaan akan bertambah pulih sekiranya orang ramai mempunyai tanggungjawab yang tinggi dan tidak memandang remeh penularan wabak H1N1,” jelas beliau.
Beliau seterusnya menegaskan, individu-individu yang mempunyai gejala penyakit serupa influenza (ILI) seperti demam panas, selesema dan batuk perlu segera mendapatkan rawatan di hospital demi kesihatan diri.
“Mereka juga perlu prihatin dengan keselamatan orang lain dengan tidak menghadiri majlis-majlis terbuka dan berehat di rumah supaya virus penyakit tidak menjangkiti individu yang tidak berkenaan,” katanya.

Sunday, August 16, 2009

Pengajaran H1N1

Pada suatu ketika, tahap wabak selesema babi atau influenza A (H1N1) di negara ini tidaklah nampak membimbangkan kalau dibandingkan dengan negara serantau termasuk Singapura.
Namun, keadaan menjadi sebaliknya dengan peningkatan kes begitu mendadak.

Singapura lebih terkawal dengan lima kes kematian sementara Malaysia mencatatkan 59 maut - berada pada tahap mencemaskan. Kadar kematian per jangkitan akibat H1N1 Malaysia dikatakan antara tertinggi di dunia dan kedua di Asia Tenggara iaitu 1 dalam 40 kes, Thailand 1 - 119 dan Indonesia 1 - 168.

Sebanyak 59 terkorban angkara wabak itu di negara ini sehingga petang semalam. Tidakkah jumlah korban itu cukup besar? Kenapa ia boleh ke tahap itu sedangkan Malaysia bukanlah negara yang mundur.

Pada ketika Awang menghargai komitmen Kementerian Kesihatan dan pihak-pihak berkenaan menangani kes tersebut, ia sesungguhnya membuka ruang untuk kita menilai apa yang tidak kena. Dalam konsep keselamatan moden, wabak dan memerangi jangkitan sudah diletakkan sebagai ancaman utama kepada keselamatan. Tetapi pendekatan kita masih di takuk lama.

Antara cara termudah ialah media diminta jangan membesar-besar penularan wabak H1N1 di peringkat awal awal kononnya bimbang akan menimbulkan kegemparan dan menjejaskan sektor pelancongan. Media juga diminta elak guna istilah selesema babi sedangkan istilah itu lebih menggerunkan orang ramai. Stesen penyiaran utama dunia seperti CNN dan BBC turut menggunakan istilah dengan maksud sama (swine flu).

Lihatlah apa jadi sekarang? Bukanlah Awang mahu mencari salah sesiapa. Yang penting ambillah pengajaran daripada isu H1N1 ini. Banyak persoalan yang melingkari kita misalnya diketahui H1N1 sudah di tahap bahaya tetapi apa tindakan kita? Untuk menentukan sama ada sekolah tutup atau buka dan larangan perhimpunan ramai, juga masih tidak jelas.

Apakah kita mahu menunggu lebih ramai mati baru mengisytiharkan darurat wabak dan langkah yang lebih konkrit? Apabila kematian sudah tidak terkawal, adalah terlambat untuk bertindak dan apakah rakyat akan dipersalahkan nanti? Lakukanlah post mortem yang berani untuk mengenal pasti kelemahan kita. Jika perlu belajar daripada Singapura, belajarlah.

petikan dari akhbar utusan malaysia

H1N1: Minta masjid solat hajat

KOTA KINABALU 15 Ogos - Semua masjid di negeri ini diminta menjalankan sembahyang hajat dan doa bagi memohon dijauhkan daripada wabak selesema babi atau influenza A (H1N1).
Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Nasir Tun Sakaran berkata, pihaknya telah menghantar memo dan arahan sejak minggu lalu supaya seluruh masjid di negeri ini menganjurkan sembahyang hajat.
"Kita telah meminta semua masjid di negeri ini mengadakan sembahyang hajat bagi menolak bala dan menjauhkan kita daripada wabak H1N1 yang melanda.
"Mudah-mudahan dengan melakukan solat hajat ini kita akan dijauhi daripada wabak yang berbahaya itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, kini beberapa buah masjid telah mula mengadakan sembahyang hajat termasuklah masjid negeri.
Justeru beliau berharap, umat Islam di negeri ini dapat memberi kerjasama dengan menunaikan sembahyang beramai-ramai bagi memohon dijauhkan daripada segala bala dan bencana.
Kata Nasir, setiap masjid boleh menganjurkan solat hajat dan doa tolak bala pada bila-bila masa dan sekerap yang boleh.
Beliau berharap, umat Islam di negeri ini sentiasa berdoa dan memohon dijauhkan daripada wabak berkenaan setiap kali selepas menunaikan sembahyang.
Sementara itu, beliau meminta rakyat di negeri ini dapat mengikut segala panduan yang diberikan oleh Jabatan Kesihatan dalam usaha mengelak penularan wabak itu.
Tambahnya, individu yang mempunyai simptom wabak berkenaan juga hendaklah segera mendapatkan rawatan di hospital.

CUEPACS mahu cuti khas

MELAKA 15 Ogos - Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta cuti khas tujuh hari yang diberikan kepada kakitangan awam yang dijangkiti virus selesema babi atau influenza A (H1N1) tidak ditolak daripada jumlah cuti rehat tahunan.
Selain itu Presidennya, Omar Osman berkata, pihaknya mahu kerajaan mempertimbangkan pemberian bayaran insentif khas kepada kakitangan awam yang bertugas membuat pemeriksaan kesihatan virus H1N1 di semua pintu masuk negara.
Katanya, pemberian insentif itu perlu kerana golongan berkenaan merupakan kelompok kumpulan yang berisiko tinggi dijangkiti virus tersebut.
''Kita juga mahu apabila sesebuah sekolah diarah tutup akibat wabak H1N1, bukan hanya pelajar dan guru bercuti tetapi perlu melibatkan pekerja lain di sekolah berkenaan.
''Ini kerana kita mendapat laporan daripada ahli kita dalam kes H1N1 ini, ada sekolah yang diarah tutup tetapi pekerja tetap diminta datang bekerja," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Ke-32 Kesatuan Pekerja-Pekerja Kerajaan Melaka di sini hari ini.
Pada masa sama, beliau turut menggesa jabatan dan agensi kerajaan mengadakan taklimat khas kepada kakitangan awam berhubung perkembangan wabak H1N1 dari semasa ke semasa bagi membolehkan mereka mengambil langkah kesihatan sewajarnya.
Omar berkata, walaupun kes kematian di negara ini disebabkan H1N1 semakin meningkat namun masih terdapat di kalangan kakitangan awam yang melihat perkara itu sebagai isu remeh.
''Hasil tinjauan CUEPACS mendapati masih ramai penjawat awam tidak mengambil langkah pencegahan seperti memakai penutup muka dan hidung serta menggunakan sabun untuk mencuci tangan," katanya.
Oleh itu, beliau menggesa ketua jabatan mengambil langkah menyediakan kemudahan penutup mulut dan hidung serta sabun bagi kegunaan kakitangan awam.

Lokasi panas tidak praktikal

KUANTAN 15 Ogos - Langkah mengklasifikasikan sesuatu kawasan sebagai lokasi panas kes selesema babi atau influenza A (H1N1) dianggap tidak praktikal kerana ia banyak memberi kesan negatif.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tahap pengabaian terhadap penjagaan diri di kalangan rakyat akan lebih tinggi jika hanya beberapa kawasan diklasifikasikan sebagai lokasi panas H1N1.
Katanya, langkah itu juga memberi kesan negatif kepada sesuatu kawasan jika ia dikategorikan sebagai lokasi panas.
''Misalnya, jika ada kes H1N1 di Kuantan, kita tidak boleh kata jangan pergi ke Kuantan.
''Orang ramai yang tidak terlibat dalam lokasi panas pula, mereka akan ambil sikap mudah. Itu pun bahaya juga. Jika kita kata tidak ada apa-apa (di sesuatu kawasan), sebenarnya kita tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan secara serentak bagi UMNO Bahagian Kuantan, Paya Besar dan Indera Mahkota di Stadium Sukpa di Bandar Indera Mahkota di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.
Beliau mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia semalam berhubung gesaan empat persatuan pengguna yang meminta kerajaan mendedahkan lokasi-lokasi panas kes H1N1 terutama kawasan yang membabitkan kematian atau mempunyai kadar jangkitan tinggi supaya orang ramai lebih berwaspada.
Melalui pendedahan itu, orang ramai boleh mengelak kawasan tersebut sama seperti larangan yang dikenakan kerajaan terhadap lawatan ke negara-negara yang dilanda wabak itu sebelum ini.
Muhyiddin memberitahu, beliau telah berbincang dengan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berhubung lokasi panas itu semalam dan memutuskan sukar mengklasifikasikan mana-mana kawasan di negara ini sebagai lokasi panas H1N1 memandangkan wabak itu telah merebak merentasi sempadan.
Jelas beliau, penularan H1N1 tidak boleh disamakan dengan jerebu yang boleh dilihat menerusi tompok-tompok merah berlaku kebakaran di atas peta.
''Saya telah bincang dengan Menteri Kesihatan, ada pelbagai pandangan dalam soal ini tetapi tiada dalam negara ini yang kita buat umumkan sebagai lokasi panas.
''Dalam soal penyakit dan virus, sukar bagi kita beritahu lokasi-lokasi panas yang ada berlaku kematian yang tinggi.
''Ia bukan macam jerebu yang mana kita akan lihat tompok-tompok merah berlaku kebakaran dalam peta. Ini soal virus yang berlaku di banyak negara lain juga. Ia telah merentasi sempadan dan bukan duduk berlegar di satu kawasan sahaja," jelasnya.
Apa yang penting, tegasnya, semua pihak perlu mengambil langkah berjaga-jaga terutama meningkatkan kebersihan diri dan mengelakkan perkara yang boleh mendedahkan diri kepada H1N1.
''Kita sentiasa memberitahu kes-kes yang berlaku menerusi media, jadi kita perlu jadikan panduan daripada maklumat yang disalurkan kerajaan itu," katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin memberitahu, kerajaan membelanjakan RM40 juta lagi untuk menambah bekalan ubat antivirus Tamiflu untuk dibekalkan kepada semua hospital kerajaan, swasta dan klinik.
''Kita minta bekalan antivirus Tamiflu ditambah lagi daripada 10 peratus kepada 20 peratus di semua hospital dan klinik.
''Kita juga telah membelanjakan sebanyak RM3 juta untuk mengedar penutup mulut dan hidung kepada pelajar sekolah di seluruh negara," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengarahkan Kementerian Kesihatan menyusunkan semula waktu menunggu bagi mengatasi masalah kesesakan pesakit di semua hospital kerajaan sejak kes H1N1 semakin serius akhir-akhir ini.
''Jika yang datang ke hospital 100 orang, 20 orang tenat, jururawat boleh buat ujian awal-awal dan asingkan. Mereka ini mesti diberi layanan utama bagi mengelakkan keadaan pesakit bertambah buruk," katanya.