Sunday, August 16, 2009

H1N1: Minta masjid solat hajat

KOTA KINABALU 15 Ogos - Semua masjid di negeri ini diminta menjalankan sembahyang hajat dan doa bagi memohon dijauhkan daripada wabak selesema babi atau influenza A (H1N1).
Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Nasir Tun Sakaran berkata, pihaknya telah menghantar memo dan arahan sejak minggu lalu supaya seluruh masjid di negeri ini menganjurkan sembahyang hajat.
"Kita telah meminta semua masjid di negeri ini mengadakan sembahyang hajat bagi menolak bala dan menjauhkan kita daripada wabak H1N1 yang melanda.
"Mudah-mudahan dengan melakukan solat hajat ini kita akan dijauhi daripada wabak yang berbahaya itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, kini beberapa buah masjid telah mula mengadakan sembahyang hajat termasuklah masjid negeri.
Justeru beliau berharap, umat Islam di negeri ini dapat memberi kerjasama dengan menunaikan sembahyang beramai-ramai bagi memohon dijauhkan daripada segala bala dan bencana.
Kata Nasir, setiap masjid boleh menganjurkan solat hajat dan doa tolak bala pada bila-bila masa dan sekerap yang boleh.
Beliau berharap, umat Islam di negeri ini sentiasa berdoa dan memohon dijauhkan daripada wabak berkenaan setiap kali selepas menunaikan sembahyang.
Sementara itu, beliau meminta rakyat di negeri ini dapat mengikut segala panduan yang diberikan oleh Jabatan Kesihatan dalam usaha mengelak penularan wabak itu.
Tambahnya, individu yang mempunyai simptom wabak berkenaan juga hendaklah segera mendapatkan rawatan di hospital.

No comments: