Sunday, August 23, 2009

H1N1 merebak ke burung pula

SANTIAGO 22 Ogos - Chile semalam menyatakan ujian menunjukkan selesema babi (H1N1) kini menjangkiti burung sekali gus membuka bab baru dalam epidemik global.
Pakar mengenai wabak selesema dan kesihatan haiwan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Rom dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (AS) di Atlanta sedang memantau situasi tersebut.
Bagaimanapun, mereka menjelaskan bahawa ayam belanda yang dijangkiti hanya mengalami selesema ringan, seterusnya mengurangkan kebimbangan mengenai perkembangan buruk mengenainya.
Pemilik ladang ternakan ayam belanda Chile Sopraval SA berkata, daging ayam belanda negara ini masih selamat dimakan dan setakat ini belum ada tanda-tanda mutasi berbahaya kerana tidak ada seekor pun ternakannya mati akibat selesema babi.
Kementerian Kesihatan Chile semalam telah mengarahkan dua ladang ayam belanda di luar bandar pelabuhan Valparasiso dikuarantin selepas ujian genetik mengesahkan ternakan yang sakit dijangkiti virus sama yang telah mencetuskan pandemik kepada manusia.
Pemilik ladang ternakan berkata, ayam belanda yang dijangkiti telah dipindahkan ke bangunan kosong untuk mengelakkan penyebaran kepada unggas liar.
Setakat ini, virus yang merupakan campuran genetik manusia, babi dan unggas itu terbukti sangat mudah berjangkit namun tidak meragut banyak nyawa seperti selesema bermusim.
Bagaimanapun pakar virus bimbang jenis selesema baru mungkin muncul sekiranya ia bergabung dengan selesema burung (H5N1) yang lebih berbahaya namun sukar berjangkit.
Sopraval melaporkan keadaan yang berlaku kepada Kementerian Pertanian selepas penghasilan telur berkurangan bulan ini dan selepas ujian awal ke atas empat sampel mengesahkan jenis kecil A/H1N1 2009.
"Apa yang menjangkiti ayam belanda itu adalah virus selesema manusia, tiada mutasi berlaku," kata Timbalan Menteri Kesihatan, Jeannette Vega kepada Radio Cooperativa semalam.
Hal tersebut juga telah dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Sementara itu, Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) pula sedang bekerjasama dengan saintis Chile. - AP

Thursday, August 20, 2009

Vaksin H1N1 mungkin berkurangan

PARIS 19 Ogos - Negara-negara di hemisfera utara setakat ini telah memesan lebih satu bilion dos vaksin selesema babi, sekali gus mencetuskan amaran mengenai kekurangan bekalan vaksin tersebut.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam, sesetengah negara, terutamanya Greece, Belanda, Kanada dan Israel, sudah memesan dos berganda yang cukup banyak untuk menginokulasi seluruh penduduk negara mereka.
Negara lain seperti Jerman, Amerika Syarikat (AS), Britain dan Perancis membuat pesanan bagi melindungi antara 30 hingga 78 peratus penduduk mereka.
"Pesanan vaksin pandemik yang dibuat oleh negara-negara hemisfera utara kini melebihi satu bilion," kata jurucakap WHO, Melinda Henry.
Beliau mengingatkan bahawa pada peringkat awal, bekalan vaksin adalah sangat terhad dan tidak akan mencukupi untuk menginokulasi seluruh penduduk atau sebahagian besar daripada penduduk.
Pakar memberi amaran, permintaan tinggi bergabung dengan kelewatan pengeluaran boleh menyebabkan kekurangan bekalan, lalu memaksa kerajaan yang bakal menghadapi gelombang kedua selesema itu, yang mungkin lebih dahsyat, membuat pilihan sukar dalam menentukan siapa yang patut diberi vaksin terlebih dahulu.
Pada Julai lalu, WHO melaporkan, 25 syarikat pengeluar ubat yang telah mengumumkan hasrat untuk mengeluarkan vaksin itu boleh menghasilkan 94 juta dos seminggu mulai pertengahan Oktober ini.
WHO, bagaimanapun meminda jumlah tersebut kepada angka yang jauh lebih rendah apabila enam pengeluar terbesar vaksin yang bertanggungjawab bagi 85 peratus pengeluaran global, melaporkan virus selesema babi yang mereka gunakan tidak membiak secepat yang dijangka.
"Jenis virus vaksin yang digunakan sekarang hanya menghasilkan 25 hingga 50 peratus daripada anggaran asal atau serendah 23 juta dos seminggu," kata Henry.
Beliau berkata, masih ada tanda tanya sama ada satu atau dua dos akan diperlukan bagi memastikan perlindungan vaksin yang berkesan.
Sebuah syarikat pengeluar ubat China, Sinovac Biotech semalam mengumumkan bahawa pihaknya sudah selesai menjalankan ujian klinikal yang menunjukkan vaksin barunya 'menghasilkan imuniti yang baik selepas satu dos'.
Namun, ramai pakar berkata, dos berganda akan diperlukan kerana kebanyakan orang tidak mempunyai imuniti terhadap virus baru influenza A (H1N1) itu. - AFP

Wednesday, August 19, 2009

257 kes baru H1N1

KUALA LUMPUR 19 Ogos — Seramai 257 pesakit disahkan positif Influenza A (H1N1) dan tiada kematian akibat jangktan wabak itu dilapor hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.
Beliau berkata daripada 257 kes baru itu, 36 kes di rawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 21 kes mempunyai faktor risiko seperti diabetes, penyakit kronik, asma, hamil dan bersalin, obesiti, kanak-kanak istimewa dan bayi.
“Kementerian Kesihatan mendapati masih ramai pesakit yang mengalami jangkitan Influenza A (H1N1) yang tidak memberi kerjasama yang baik dalam mengawal penularan wabak ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dr Mohd Ismail turut meminta mereka yang mempunyai simptom penyakit itu supaya lebih bertanggungjawab dengan tidak mengunjungi tempat awam seperti pusat membeli belah dan mengelak daripada menaiki kenderaan awam.
“Mereka yang mempunyai simptom influenza walaupun ringan, masih boleh disebar kepada orang lain apabila mereka ini batuk atau bersin. Oleh itu, sesiapa yang ada simptom ini mesti berada di rumah, jangan mengunjungi tempat awam, tempat kerja atau sekolah sehingga tidak bersimptom lagi,” katanya.
Orang ramai juga dinasihat sentiasa mengikuti perkembangan semasa dan langkah-langkah pencegahan dengan melayari laman web khas H1N1 di http://h1n1.moh.gov.my atau menghubungi talian hotline 03-88810200 atau 03-88810300.
- BERNAMA

Monday, August 17, 2009

Dua lagi kematian kerana H1N1

KUALA LUMPUR 17 Ogos — Seorang bayi lelaki berumur tujuh bulan dan seorang wanita warga emas berumur 74 tahun adalah dua korban terbaru influenza A (H1N1) menjadikan jumlah kes kematian di negara ini seramai 64 orang.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, sehingga 9 pagi ini sejumlah 284 pesakit H1N1 sedang dirawat di wad manakala 33 pesakit yang disahkan menghidap H1N1 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di seluruh negara.
Daripada 33 kes ini, 17 kes didapati mempunyai faktor risiko.
Dr. Mohd. Ismail berkata, bayi tersebut yang menghidap asma dimasukkan ke ICU pada 7 Ogos lepas kerana demam, batuk dan sesak nafas selama dua hari.
“Bagaimanapun bayi tersebut meninggal dunia pada 15 Ogos lepas disebabkan ’severe pneumonia with acute respiratory failure’,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, wanita warga emas itu pula yang menghidap diabetes dan kegagalan jantung dimasukkan ke hospital pada 10 Ogos setelah pengsan di rumahnya dan meninggal dunia pada 12 Ogos disebabkan ’severe pneumonia’.
- BERNAMA

H1N1 kini tahap tenat

KUALA LUMPUR 16 Ogos – Darurat kesihatan tidak boleh diisytihar sewenang-wenangnya walaupun Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menganggarkan lima juta atau 20 peratus rakyat negara ini dijangkiti virus selesema babi atau Influenza A (H1N1).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pihaknya mengakui situasi wabak itu di negara ini adalah tenat, tetapi untuk mengisytihar negara sebagai darurat ia perlu mengambil kira banyak faktor dan kriteria lain.

Katanya, ia termasuk melibatkan pelbagai pihak lain seperti orang awam, kementerian dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Ini tidak bermakna kerajaan tidak serius dalam menangani penularan H1N1, malah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ialah Pengerusi kepada Jawatankuasa Kebangsaan Antara Kementerian Untuk Menangani Wabak H1N1,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Malaysia hari ini mencatatkan tiga lagi kematian akibat virus H1N1 menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 62 orang manakala sebanyak 283 kes baru dilaporkan di seluruh negara dengan jumlah kes terkumpul H1N1 meningkat kepada 3,857 kes.

Semalam Tiong Lai berkata, WHO menganggarkan lima juta atau 20 peratus rakyat negara ini berisiko dijangkiti virus influenza A (H1N1) jika orang ramai tidak mengambil serius langkah pencegahan bagi menghalang penularan virus itu.

Statistik itu berdasarkan kajian terperinci WHO mengenai kesan penularan luar biasa H1N1 terhadap sesebuah negara jika ancaman virus tersebut tidak ditangani secara berkesan dan menyeluruh.
Tiong Lai berkata, buat masa sekarang, Kementerian Kesihatan akan memfokuskan kepada aspek pencegahan dan rawatan khususnya terhadap pesakit-pesakit H1N1 yang terdiri daripada golongan berisiko tinggi.

“Kita akan terus mempergiatkan usaha menghebahkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan H1N1 di media massa seperti mengadakan sesi forum dengan orang ramai bagi meningkatkan tahap pengetahuan serta kesedaran mereka,” ujar beliau.
Menurutnya, Kementerian Kesihatan mahu mengambil langkah yang praktikal dalam mencegah penularan wabak H1N1 di negara ini termasuk meminta orang ramai memberi kerjasama bersepadu kepada kerajaan dalam perkara tersebut.

“Saya yakin keadaan akan bertambah pulih sekiranya orang ramai mempunyai tanggungjawab yang tinggi dan tidak memandang remeh penularan wabak H1N1,” jelas beliau.
Beliau seterusnya menegaskan, individu-individu yang mempunyai gejala penyakit serupa influenza (ILI) seperti demam panas, selesema dan batuk perlu segera mendapatkan rawatan di hospital demi kesihatan diri.
“Mereka juga perlu prihatin dengan keselamatan orang lain dengan tidak menghadiri majlis-majlis terbuka dan berehat di rumah supaya virus penyakit tidak menjangkiti individu yang tidak berkenaan,” katanya.

Sunday, August 16, 2009

Pengajaran H1N1

Pada suatu ketika, tahap wabak selesema babi atau influenza A (H1N1) di negara ini tidaklah nampak membimbangkan kalau dibandingkan dengan negara serantau termasuk Singapura.
Namun, keadaan menjadi sebaliknya dengan peningkatan kes begitu mendadak.

Singapura lebih terkawal dengan lima kes kematian sementara Malaysia mencatatkan 59 maut - berada pada tahap mencemaskan. Kadar kematian per jangkitan akibat H1N1 Malaysia dikatakan antara tertinggi di dunia dan kedua di Asia Tenggara iaitu 1 dalam 40 kes, Thailand 1 - 119 dan Indonesia 1 - 168.

Sebanyak 59 terkorban angkara wabak itu di negara ini sehingga petang semalam. Tidakkah jumlah korban itu cukup besar? Kenapa ia boleh ke tahap itu sedangkan Malaysia bukanlah negara yang mundur.

Pada ketika Awang menghargai komitmen Kementerian Kesihatan dan pihak-pihak berkenaan menangani kes tersebut, ia sesungguhnya membuka ruang untuk kita menilai apa yang tidak kena. Dalam konsep keselamatan moden, wabak dan memerangi jangkitan sudah diletakkan sebagai ancaman utama kepada keselamatan. Tetapi pendekatan kita masih di takuk lama.

Antara cara termudah ialah media diminta jangan membesar-besar penularan wabak H1N1 di peringkat awal awal kononnya bimbang akan menimbulkan kegemparan dan menjejaskan sektor pelancongan. Media juga diminta elak guna istilah selesema babi sedangkan istilah itu lebih menggerunkan orang ramai. Stesen penyiaran utama dunia seperti CNN dan BBC turut menggunakan istilah dengan maksud sama (swine flu).

Lihatlah apa jadi sekarang? Bukanlah Awang mahu mencari salah sesiapa. Yang penting ambillah pengajaran daripada isu H1N1 ini. Banyak persoalan yang melingkari kita misalnya diketahui H1N1 sudah di tahap bahaya tetapi apa tindakan kita? Untuk menentukan sama ada sekolah tutup atau buka dan larangan perhimpunan ramai, juga masih tidak jelas.

Apakah kita mahu menunggu lebih ramai mati baru mengisytiharkan darurat wabak dan langkah yang lebih konkrit? Apabila kematian sudah tidak terkawal, adalah terlambat untuk bertindak dan apakah rakyat akan dipersalahkan nanti? Lakukanlah post mortem yang berani untuk mengenal pasti kelemahan kita. Jika perlu belajar daripada Singapura, belajarlah.

petikan dari akhbar utusan malaysia

H1N1: Minta masjid solat hajat

KOTA KINABALU 15 Ogos - Semua masjid di negeri ini diminta menjalankan sembahyang hajat dan doa bagi memohon dijauhkan daripada wabak selesema babi atau influenza A (H1N1).
Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Nasir Tun Sakaran berkata, pihaknya telah menghantar memo dan arahan sejak minggu lalu supaya seluruh masjid di negeri ini menganjurkan sembahyang hajat.
"Kita telah meminta semua masjid di negeri ini mengadakan sembahyang hajat bagi menolak bala dan menjauhkan kita daripada wabak H1N1 yang melanda.
"Mudah-mudahan dengan melakukan solat hajat ini kita akan dijauhi daripada wabak yang berbahaya itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, kini beberapa buah masjid telah mula mengadakan sembahyang hajat termasuklah masjid negeri.
Justeru beliau berharap, umat Islam di negeri ini dapat memberi kerjasama dengan menunaikan sembahyang beramai-ramai bagi memohon dijauhkan daripada segala bala dan bencana.
Kata Nasir, setiap masjid boleh menganjurkan solat hajat dan doa tolak bala pada bila-bila masa dan sekerap yang boleh.
Beliau berharap, umat Islam di negeri ini sentiasa berdoa dan memohon dijauhkan daripada wabak berkenaan setiap kali selepas menunaikan sembahyang.
Sementara itu, beliau meminta rakyat di negeri ini dapat mengikut segala panduan yang diberikan oleh Jabatan Kesihatan dalam usaha mengelak penularan wabak itu.
Tambahnya, individu yang mempunyai simptom wabak berkenaan juga hendaklah segera mendapatkan rawatan di hospital.

CUEPACS mahu cuti khas

MELAKA 15 Ogos - Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta cuti khas tujuh hari yang diberikan kepada kakitangan awam yang dijangkiti virus selesema babi atau influenza A (H1N1) tidak ditolak daripada jumlah cuti rehat tahunan.
Selain itu Presidennya, Omar Osman berkata, pihaknya mahu kerajaan mempertimbangkan pemberian bayaran insentif khas kepada kakitangan awam yang bertugas membuat pemeriksaan kesihatan virus H1N1 di semua pintu masuk negara.
Katanya, pemberian insentif itu perlu kerana golongan berkenaan merupakan kelompok kumpulan yang berisiko tinggi dijangkiti virus tersebut.
''Kita juga mahu apabila sesebuah sekolah diarah tutup akibat wabak H1N1, bukan hanya pelajar dan guru bercuti tetapi perlu melibatkan pekerja lain di sekolah berkenaan.
''Ini kerana kita mendapat laporan daripada ahli kita dalam kes H1N1 ini, ada sekolah yang diarah tutup tetapi pekerja tetap diminta datang bekerja," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Ke-32 Kesatuan Pekerja-Pekerja Kerajaan Melaka di sini hari ini.
Pada masa sama, beliau turut menggesa jabatan dan agensi kerajaan mengadakan taklimat khas kepada kakitangan awam berhubung perkembangan wabak H1N1 dari semasa ke semasa bagi membolehkan mereka mengambil langkah kesihatan sewajarnya.
Omar berkata, walaupun kes kematian di negara ini disebabkan H1N1 semakin meningkat namun masih terdapat di kalangan kakitangan awam yang melihat perkara itu sebagai isu remeh.
''Hasil tinjauan CUEPACS mendapati masih ramai penjawat awam tidak mengambil langkah pencegahan seperti memakai penutup muka dan hidung serta menggunakan sabun untuk mencuci tangan," katanya.
Oleh itu, beliau menggesa ketua jabatan mengambil langkah menyediakan kemudahan penutup mulut dan hidung serta sabun bagi kegunaan kakitangan awam.

Lokasi panas tidak praktikal

KUANTAN 15 Ogos - Langkah mengklasifikasikan sesuatu kawasan sebagai lokasi panas kes selesema babi atau influenza A (H1N1) dianggap tidak praktikal kerana ia banyak memberi kesan negatif.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tahap pengabaian terhadap penjagaan diri di kalangan rakyat akan lebih tinggi jika hanya beberapa kawasan diklasifikasikan sebagai lokasi panas H1N1.
Katanya, langkah itu juga memberi kesan negatif kepada sesuatu kawasan jika ia dikategorikan sebagai lokasi panas.
''Misalnya, jika ada kes H1N1 di Kuantan, kita tidak boleh kata jangan pergi ke Kuantan.
''Orang ramai yang tidak terlibat dalam lokasi panas pula, mereka akan ambil sikap mudah. Itu pun bahaya juga. Jika kita kata tidak ada apa-apa (di sesuatu kawasan), sebenarnya kita tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan secara serentak bagi UMNO Bahagian Kuantan, Paya Besar dan Indera Mahkota di Stadium Sukpa di Bandar Indera Mahkota di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.
Beliau mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia semalam berhubung gesaan empat persatuan pengguna yang meminta kerajaan mendedahkan lokasi-lokasi panas kes H1N1 terutama kawasan yang membabitkan kematian atau mempunyai kadar jangkitan tinggi supaya orang ramai lebih berwaspada.
Melalui pendedahan itu, orang ramai boleh mengelak kawasan tersebut sama seperti larangan yang dikenakan kerajaan terhadap lawatan ke negara-negara yang dilanda wabak itu sebelum ini.
Muhyiddin memberitahu, beliau telah berbincang dengan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berhubung lokasi panas itu semalam dan memutuskan sukar mengklasifikasikan mana-mana kawasan di negara ini sebagai lokasi panas H1N1 memandangkan wabak itu telah merebak merentasi sempadan.
Jelas beliau, penularan H1N1 tidak boleh disamakan dengan jerebu yang boleh dilihat menerusi tompok-tompok merah berlaku kebakaran di atas peta.
''Saya telah bincang dengan Menteri Kesihatan, ada pelbagai pandangan dalam soal ini tetapi tiada dalam negara ini yang kita buat umumkan sebagai lokasi panas.
''Dalam soal penyakit dan virus, sukar bagi kita beritahu lokasi-lokasi panas yang ada berlaku kematian yang tinggi.
''Ia bukan macam jerebu yang mana kita akan lihat tompok-tompok merah berlaku kebakaran dalam peta. Ini soal virus yang berlaku di banyak negara lain juga. Ia telah merentasi sempadan dan bukan duduk berlegar di satu kawasan sahaja," jelasnya.
Apa yang penting, tegasnya, semua pihak perlu mengambil langkah berjaga-jaga terutama meningkatkan kebersihan diri dan mengelakkan perkara yang boleh mendedahkan diri kepada H1N1.
''Kita sentiasa memberitahu kes-kes yang berlaku menerusi media, jadi kita perlu jadikan panduan daripada maklumat yang disalurkan kerajaan itu," katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin memberitahu, kerajaan membelanjakan RM40 juta lagi untuk menambah bekalan ubat antivirus Tamiflu untuk dibekalkan kepada semua hospital kerajaan, swasta dan klinik.
''Kita minta bekalan antivirus Tamiflu ditambah lagi daripada 10 peratus kepada 20 peratus di semua hospital dan klinik.
''Kita juga telah membelanjakan sebanyak RM3 juta untuk mengedar penutup mulut dan hidung kepada pelajar sekolah di seluruh negara," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengarahkan Kementerian Kesihatan menyusunkan semula waktu menunggu bagi mengatasi masalah kesesakan pesakit di semua hospital kerajaan sejak kes H1N1 semakin serius akhir-akhir ini.
''Jika yang datang ke hospital 100 orang, 20 orang tenat, jururawat boleh buat ujian awal-awal dan asingkan. Mereka ini mesti diberi layanan utama bagi mengelakkan keadaan pesakit bertambah buruk," katanya.

5j berisiko dijangkiti H1N1

BUKIT MERTAJAM 15 Ogos - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan lima juta atau 20 peratus rakyat negara ini berisiko dijangkiti virus influenza A (H1N1) jika orang ramai tidak mengambil serius langkah pencegahan bagi menghalang penularan virus itu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, statistik itu berdasarkan kajian terperinci WHO mengenai impak penularan luar biasa H1N1 terhadap sesebuah negara jika ancaman virus tersebut tidak ditangani secara berkesan dan menyeluruh.
''Kajian itu menyebut bahawa jika penularan virus H1N1 di sesebuah negara tidak berjaya ditangani dengan berkesan, 20 peratus penduduknya akan terdedah dengan jangkitan virus itu.
''Jadi semua pihak perlu tampil bersama-sama mengamalkan langkah-langkah pencegahan yang disarankan kerajaan," katanya kepada pemberita selepas melawat Hospital Bukit Mertajam (HBM) di sini hari ini.
Tiong Lai berkata, penularan H1N1 dijangka berlarutan dalam tempoh satu atau setahun setengah lagi dan ia diramal menular lebih cepat pada musim tengkujuh iaitu antara bulan Oktober hingga Disember ini.
Sepanjang tempoh itu katanya, orang ramai turut terdedah dengan penyakit berjangkit lain.
Justeru katanya, setiap lapisan rakyat perlu mengambil serius setiap langkah proaktif termasuk meningkatkan kebersihan diri tanpa mengharapkan program-program pencegahan yang dijalankan kerajaan semata-mata.
''Pada musim tengkujuh, kita lebih terdedah dengan selesema, batuk-batuk dan demam. Tempoh ini amat penting untuk semua rakyat mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak mengambil mudah," tambahnya.
Kajian WHO juga katanya, menunjukkan jumlah sebenar penduduk yang dijangkiti H1N1 adalah 20 kali ganda dengan jumlah pesakit yang direkodkan menerima rawatan akibat jangkitan virus tersebut.
''Ini bermakna jika kita merekodkan 3,574 kes jangkitan H1N1 setakat ini, jumlah sebenar yang dijangkiti adalah sekitar 70,000 orang. Kajian WHO ini mungkin tidak begitu tepat tapi kita kena beri perhatian sewajarnya," jelasnya.
Tiong Lai berkata, walaupun kajian WHO menunjukkan risiko kematian pesakit yang dijangkiti H1N1 amat rendah iaitu antara 0.1 hingga 0.4 peratus tetapi keadaan akan menjadi lebih buruk sekiranya langkah pencegahan tidak dilakukan secara bersungguh-sungguh.
Sementara itu katanya, tiga lagi kematian akibat H1N1 direkodkan setakat semalam menjadikan jumlah korban akibat penularan virus itu meningkat kepada 59 orang.
Katanya, tiga kematian itu membabitkan dua lelaki berusia 22 dan 29 tahun yang masing-masing menghidap penyakit jantung dan obesiti.
''Seorang lagi mangsa ialah wanita berusia 44 tahun yang menghidap asma dan disahkan meninggal dunia selepas enam hari menerima rawatan," tambahnya.

Friday, August 14, 2009

H1N1: Bayi lahir tidak cukup bulan antara 5 korban terbaru

KUALA LUMPUR 14 Ogos — Seorang bayi yang dilahirkan tidak cukup umur adalah antara lima kematian terkini akibat Influenza A(H1N1), menjadikan jumlah kematian di negara ini sebanyak 56 kematian.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican dalam kenyataan hari ini berkata empat daripada kes kematian mempunyai faktor risiko iaitu obes, diabetes dan TB paru-paru (1 kes), diabetes (1 kes) dan bayi (2 kes).
Katanya, kematian tersebut berlaku pada 8 Ogos (1 kes), 11 Ogos (2 kes) dan 12 Ogos (2 kes).
Menurut beliau, kematian pada 12 Ogos melibatkan bayi tidak cukup bulan berusia 27 minggu yang dimasukkan ke hospital pada 3 Ogos kerana demam, batuk, selesema dan susah bernafas selama tiga hari.
Keadaan bayi berkenaan semakin teruk dan telah diventilasi sebelum ujian swab dan rawatan antiviral diberikan.
Seorang lagi bayi yang meninggal dunia berumur dua bulan yang dimasukkan ke hospital pada 7 Ogos setelah berada dalam keadaan tidak memberikan tindak balas serta pucat.
Katanya, sebelum kejadian itu, bayi berkenaan mula meragam dan kurang minum susu sejak 5 Ogos tetapi tidak demam, batuk atau sesak nafas.
Bagaimanapun, bayi itu telah dimasukkan ke ICU apabila didapati keadaannya semakin kritikal dan meninggal dunia pada 8 Ogos.
Menurut Dr Mohd Ismail, dua lagi kematian melibatkan seorang wanita berumur 49 tahun dan seorang lelaki berumur 57 tahun yang merupakan penghidap diabetes.
Wanita berkenaan, selain obes dan mempunyai diabetes, juga dikesan mempunyai tuberkulosis dan dimasukkan ke hospital pada 29 Julai setelah tidak pulih daripada demam, batuk, sakit tekak dan sesak nafas sejak pertengahan bulan yang sama.
Wanita itu yang dirawat untuk pneumonia dibenarkan pulang pada 3 Ogos dan kemudian dimasukkan semula ke wad empat hari selepas itu untuk rawatan tuberkulosis.
Pada 8 Ogos, beliau telah diberikan antiviral kerana disyaki positif H1N1 sebelum meninggal dunia pada 11 Ogos kerana keadaan kesihatan yang semakin teruk.
Kematian seorang lagi penghidap diabetes adalah pada 12 Ogos akibat sepsis disebabkan pneumonia.
Lelaki berkenaan sebelum itu, mendapat simptom batuk dan selsema pada 2 Ogos tetapi tidak sembuh selepas mendapatkan rawatan.
Lelaki itu kemudian mendapatkan rawatan susulan pada keesokan harinya apabila mengalami demam, muntah dan cirit-birit dan pada hari yang sama dimasukkan ke hospital serta diberikan antiviral.
Seorang remaja lelaki berumur 19 tahun turut menjadi mangsa H1N1 apabila dimasukkan ke wad pada 7 Ogos setelah mengalami demam dan batuk selama dua hari dan diberikan rawatan antiviral.
Remaja itu meninggal dunia empat hari kemudian kerana sesak nafas yang teruk selepas disahkan positif H1N1 pada 8 Ogos.
Sementara itu, Dr Mohd Ismail berkata sebanyak 70 peratus faktor kematian adalah disebabkan faktor risiko kesihatan, 40 peratus didapati lewat mendapat rawatan awal manakala 13 peratus lagi gagal dikesan oleh pengamal perubatan terlebih awal.
“Oleh yang demikian, saya berpendapat ada antara kematian ini dapat dielak sekiranya pesakit dan pengamal perubatan lebih peka dan mengambil tindakan sewajarnya dengan segera,” katanya.
Mengenai situasi terkini H1N1, Dr Mohd Ismail memaklumkan terdapat seramai 72 pesakit H1N1 sedang dirawat di wad dan 27 lagi dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Katanya, daripada 27 kes yang berada di ICU, 18 daripada mereka mempunyai faktor risiko iaitu penyakit kronik (10), obesiti (4), kanak-kanak (2), hamil (1) dan selepas bersalin (1).
Dalam pada itu beliau berkata kadar penularan Influenza A(H1N1) di dalam komuniti adalah tinggi dan ini dapat dilihat daripada ramainya pesakit yang datang ke hospital dan klinik untuk mendapatkan rawatan.
Beliau meminta orang awam khususnya mereka yang mempunyai simptom influenza supaya mengambil langkah pencegahan seperti berehat di rumah selepas mendapatkan rawatan jika tidak dimasukkan ke hospital.
Selain itu, guru dan ketua tempat kerja diminta menjalankan saringan harian untuk memastikan mereka yang mengalami simptom tidak meneruskan kerja atau menghadiri kelas.
Sementara ibu bapa atau penjaga diminta memastikan anak mereka yang mempunyai gejala influenza tidak hadir ke sekolah bagi mengurangkan penularan jangkitan dan tidak mengganggu aktiviti pembelajaran di sekolah.
— BERNAMA

Thursday, August 13, 2009

10 lagi warga Labuan dijangkiti virus Influenza H1N1

LABUAN: 10 lagi warga Labuan disahkan dijangkiti virus Influenza A H1N1 menjadikan jumlah keseluruhan kepada 24 kes sejak ia dikesan pada 28 Julai lalu.
Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Zaini Husin berkata, sehingga petang kelmarin jumlah mereka yang disahkan positif H1N1 meningkat daripada 14 kes kepada 24 kes.
Menurutnya, 10 kes itu disahkan positif dalam tempoh tiga hari berturut-turut masing-masing tiga kes pada Isnin dan Selasa, manakala empat kes lagi disahkan kelmarin membabitkan tujuh pelajar dan tiga awam termasuk seorang daripadanya merupakan kakitangan Jabatan Kesihatan.
“Kesemua mereka yang disahkan positif H1N1 telah dikuarantin dalam rumah atau asrama selama seminggu bagi memastikan wabak itu tidak merebak kepada orang lain,” katanya ketika dihubungi di sini petang kelmarin. Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan kesemua sekolah yang sebelum ini ditutup sehingga 11 Ogos lalu te lah dibuka seperti biasa bermula kelmarin dan tidak ada sekolah lain yang ditutup.
Sejak 28 Julai lalu pelajar dari SK Pantai menjadi penyumbang terbesar penularan wabak H1N1 iaitu 5 kes diikuti, SK Pekan Dua (3), SM Mutiara (3), SM Sains (2), Kolej Matrikulasi Labuan (2), UMS-KAL (2) dan masing-masing satu kes dari Institut Latihan Perindustrian (ILP), SK Bedaun dan SK Sungai Lada.
Manakala empat kes lagi adalah melibatkan orang awam termsuklah seorang daripadanya kakitangan Jabatan Kesihatan yang merawat pesakit sebelum ini.
Daripada jumlah itu katanya, seorang telahpun disahkan sembuh 100 peratus, manakala 14 lagi akan dapat diketahui status kesihatan mereka hari ini (Rabu) apabila tempoh kuarantin mereka berakhir kelmarin.
Dr Zaini turut menasihatkan orang ramai dan mereka yang berisiko virus Influenza A H1N1 supaya tidak berkunjung ke tempat-tempat sesak dan terbuka, bagi mengelakkan penularan virus tersebut.
Menurut beliau lagi, pihaknya bersama-sama dengan beberapa jabatan dan agensi kerajaan yang lain serta NGO’s dan parti-parti politik di pulau ini akan melaksanakan Kempen Mencegah Influenza A H1N1 secara berterusan bermula Sabtu ini.

Tuesday, August 11, 2009

Enam lagi kematian H1N1

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Jumlah korban akibat selesema babi atau influenza A (H1N1) di negara ini terus meningkat dengan enam lagi kematian direkodkan hari ini menjadikan jumlah kematian akibat wabak itu meningkat kepada 32 kes sehingga kini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, daripada enam kematian yang direkodkan, hanya satu kes kematian berlaku semalam.
Beliau berkata, lima kematian lain yang berlaku sebelum itu hanya disahkan mendapat jangkitan H1N1 pada 7 dan 8 Ogos lalu serta dilaporkan secara formal sebagai kes- kes kematian yang berkaitan H1N1 semalam.
"Empat daripada kes kematian tersebut didapati mempunyai faktor risiko. Tarikh kematian sebenar enam kes itu adalah 5 Ogos (2 kes), 8 Ogos (3) dan satu kes pada 9 Ogos," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau menambah, sebanyak 203 kes baru H1N1 termasuk enam kes kematian dilaporkan di seluruh negara hari ini menjadikan kes terkumpul H1N1 meningkat kepada 1,983 kes dengan 32 kes kematian.
"Kesemua kes baru H1N1 tersebut adalah kes jangkitan tempatan dan semua pesakit terdiri daripada warganegara Malaysia," jelas beliau.
Merujuk kepada situasi global sehingga hari ini, Mohd. Ismail berkata, sejumlah 208,155 kes dengan 1,688 kematian telah dilaporkan dari 174 negara.
"Ia merupakan peningkatan sebanyak 1,066 kes dengan 100 kematian berbanding hari sebelumnya," katanya.
Menurutnya, orang ramai yang mengalami simptom dan berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi akibat jangkitan H1N1 diminta segera mendapatkan rawatan di hospital.
"Rawatan antiviral akan diberi kepada pesakit tanpa memerlukan ujian pengesahan makmal. Ia sangat berkesan untuk mengubati pesakit jika dimulakan dalam tempoh 48 jam selepas gejala bermula," katanya.
Mohd. Ismail berkata, mereka yang mempunyai simptom ringan diminta untuk mendapatkan rawatan simptomatik selain dinasihatkan berada di rumah dan membataskan pergaulan serta aktiviti di luar.
"Kebersihan diri dan etika batuk perlu sentiasa diamalkan iaitu dengan memakai penutup mulut dan hidung jenis tiga lapis bagi mengurangkan penularan virus kepada orang lain jika terpaksa keluar rumah," katanya.
Tambahnya, orang ramai harus mendapatkan rawatan segera apabila mengalami tanda-tanda seperti masalah sukar bernafas, demam atau sakit dada yang berterusan, batuk berdarah, muntah atau cirit-birit yang kerap.
"Mereka diminta terus mengamalkan cara hidup sihat termasuk banyak minum air, tidak merokok, makan secara sihat dan melakukan aktiviti fizikal. Amalkan langkah-langkah pencegahan H1N1 bagi mengurangkan penularan penyakit ini," katanya.
Ujar beliau, penutupan sesebuah sekolah atau institusi adalah bergantung kepada penilaian risiko yang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah dan persetujuan bersama dengan pihak pengurusan sekolah atau institusi tersebut.
"Di hospital kerajaan, ujian pengesahan jangkitan H1N1 hanya dibuat untuk kes-kes yang dimasukkan ke hospital sahaja," katanya.

Monday, August 10, 2009

H1N1: Lapan lagi mati

JUMLAH korban akibat selesema babi atau influenza A (H1N1) di negara ini terus meningkat dengan lapan lagi kematian direkodkan semalam.
Ia menjadikan jumlah kematian akibat wabak itu meningkat kepada 26 kes sehingga kini.
Jadual peperiksaan utama yang bakal diduduki pelajar hujung tahun ini kekal.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kementerian Pelajaran yang diketuainya mempunyai pelan kontigensi untuk menangani perkara itu sekiranya jangkitan H1N1 tidak terbendung.
Semua masjid di seluruh negara digesa mengadakan solat hajat selepas solat Jumaat akan datang bagi memohon negara diselamatkan daripada penularan wabak influenza A(H1N1).
KOTA KINABALU 9 Ogos – Jumlah korban akibat selesema babi atau Influenza A (H1N1) di negara ini terus meningkat dengan lapan lagi kematian direkodkan hari ini.
Ia menjadikan jumlah kematian akibat wabak itu meningkat kepada 26 kes sehingga kini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong lai berkata, tujuh kematian yang direkodkan berkenaan dilaporkan daripada golongan berisiko tinggi yang mempunyai penyakit lain.
Selain itu katanya, kes terbaru itu menyaksikan kes kematian pertama di Sabah melibatkan seorang lelaki warga emas dan seorang wanita.
“Satu kematian direkodkan pada 3 Ogos lalu, dua pada 5 Ogos, empat pada 6 Ogos dan satu kematian direkodkan semalam,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penamaan semula Hospital Likas kepada Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Kesihatan Sabah, Dr. Marzukhi Md. Isa dan Pengarah Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah, Dr. Razak Tambi.
Menurut Tiong Lai, kes kematian di Sabah turut membabitkan seorang wanita berusia 24 tahun yang mengalami masalah obesiti.
Katanya, mangsa dimasukkan ke Hospital Ranau pada 1 Ogos lalu kerana mengalami demam dan batuk selama empat hari, sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada 5 Ogos dan meninggal dunia pada hari yang sama.
Beliau memberitahu, mangsa yang mengalami jangkitan paru-paru dan kegagalan jantung hanya disahkan menghidap wabak H1N1 pada 7 Ogos lalu.
“Kes kematian lain di Sabah adalah melibatkan lelaki berusia 74 tahun yang menghidapi penyakit jantung kronik yang dimasukkan ke HQE pada 3 Ogos yang mempunyai sejarah kesukaran bernafas selama sebulan dan demam satu hari sebelum meninggal dunia pada 6 Ogos lalu,” katanya.
Tiong Lai berkata, pada masa ini seramai 62 mangsa H1N1 sedang mendapatkan rawatan di hospital dan 13 lagi dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU),
Jelasnya, selain itu lima lagi pesakit yang disyaki menghidap H1N1 turut ditahan di ICU bagi menunggu keputusan ujian.
Sementara itu katanya, pada masa ini sebanyak 402 kes direkodkan di Sabah dengan tujuh mangsa masih ditahan di hospital termasuk seorang di ICU dan tujuh lagi kes ILI yang masih menunggu keputusan ujian.
Tambahnya, sehingga hari ini juga sebanyak 35 sekolah di Sabah ditutup akibat wabak itu.

Wednesday, August 5, 2009

Tiga lagi kematian akibat H1N1

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Sebanyak tiga lagi kematian akibat wabak selesema babi atau influenza A(H1N1) dilaporkan hari ini menjadi 11 kematian dengan 1,476 kes dilaporkan diseluruh negara setakat ini.

Tuesday, August 4, 2009

H1N1: Tiada kematian, 14 kes baru dikesan

PUTRAJAYA 4 Ogos — Walaupun tiada kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam sejak 8 pagi semalam akibat selesema babi atau Influenza A (H1N1), sebanyak 14 kes baru dikesan dalam tempoh tersebut, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Daripada 14 kes yang dilaporkan itu, 13 merupakan kejadian daripada tiga kluster baru dan satu kes sporadik atau terpencil.
“Jumlah kes terkumpul kes Influenza A (H1N1) di Malaysia setakat 8 pagi hari ini ialah 1,460 kes dengan jumlah kematian lapan orang. Daripada 1,460 kes itu, 574 atau 39.4 peratus adalah kes import dan 886 kes jangkitan tempatan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Antara Kementerian Mengenai Pandemik H1N1 di sini hari ini.
Katanya, daripada jumlah itu, 1,410 kes telah sembuh dan hanya 27 kes sahaja yang sedang menerima rawatan antiviral di hospital dengan 10 daripada kes itu berada di unit rawatan rapi manakala 23 orang sedang menerima rawatan antiviral di rumah.
Beliau juga berkata, daripada 10 kes yang berada di unit rawatan rapi, tiga mempunyai faktor risiko yang tinggi iaitu obesiti (1), wanita lepas bersalin (1) dan imuniti rendah (1).
Bagi 14 kes yang dikesan dalam masa 24 jam yang lalu, satu kes dirawat di unit rawatan rapi dan 13 orang menerima rawatan pesakit luar, katanya.

H1N1: Tiada kematian, 14 kes baru dikesan

PUTRAJAYA 4 Ogos — Walaupun tiada kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam sejak 8 pagi semalam akibat selesema babi atau Influenza A (H1N1), sebanyak 14 kes baru dikesan dalam tempoh tersebut, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Daripada 14 kes yang dilaporkan itu, 13 merupakan kejadian daripada tiga kluster baru dan satu kes sporadik atau terpencil.
“Jumlah kes terkumpul kes Influenza A (H1N1) di Malaysia setakat 8 pagi hari ini ialah 1,460 kes dengan jumlah kematian lapan orang. Daripada 1,460 kes itu, 574 atau 39.4 peratus adalah kes import dan 886 kes jangkitan tempatan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Antara Kementerian Mengenai Pandemik H1N1 di sini hari ini.
Katanya, daripada jumlah itu, 1,410 kes telah sembuh dan hanya 27 kes sahaja yang sedang menerima rawatan antiviral di hospital dengan 10 daripada kes itu berada di unit rawatan rapi manakala 23 orang sedang menerima rawatan antiviral di rumah.
Beliau juga berkata, daripada 10 kes yang berada di unit rawatan rapi, tiga mempunyai faktor risiko yang tinggi iaitu obesiti (1), wanita lepas bersalin (1) dan imuniti rendah (1).
Bagi 14 kes yang dikesan dalam masa 24 jam yang lalu, satu kes dirawat di unit rawatan rapi dan 13 orang menerima rawatan pesakit luar, katanya.