GENEVA 12 Jun - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran pandemik selesema babi akan berlarutan selama satu atau dua tahun.
Penolong Ketua Pengarah WHO, Keiji Fukuda semalam berkata, virus H1N1 itu akan merebak di seluruh dunia selama satu hingga dua tahun dan penduduk akan dijangkiti virus itu seperti yang biasa berlaku dalam kes pandemik.
"Kita perlu fleksibel dalam tindak balas kita terhadap virus ini," kata beliau.
Fukuda berkata demikian selepas WHO mengisytiharkan pandemik influenza pertama di dunia dalam tempoh 40 tahun bagi virus Influenza A (H1N1) yang telah menjangkiti puluhan ribu penduduk di 74 negara.
"Kami akan memantau pandemik ini dengan rapi dan kita akan melihat jenis aktiviti penyakit yang akan timbul," ujar beliau.
Sebelum itu, Ketua Pengarah WHO, Margaret Chan berkata, pengisytiharan pandemik 'sederhana' tidak harus mencetuskan panik dan tidak bermakna angka kematian akibat virus H1N1 yang kini berjumlah 144 orang, akan meningkat secara mendadak.
WHO tidak mengesyorkan penutupan sempadan atau sekatan ke atas pergerakan manusia, barangan dan perkhidmatan tetapi memberi amaran virus tersebut merebak melepasi benua Amerika di mana ia mula dikesan pada April lalu.
"Kami meningkatkan paras amaran pandemik ke fasa enam dan ini bermakna dunia memasuki peringkat awal pandemik influenza pertama pada abad ke-21," kata Chan selepas mesyuarat pakar-pakar sains semalam. - AFP
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment